16 July 2012

::: Akhirnya Aku Ke Situ

6 Julai 2012. Jumaat.

Akhirnya. Aku menghampiri seperti dahulu - ketika aku masih muda remaja di sekolah menengah. Zaman buta hiburan. Masih tunduk pada arahan. Masih naif tentang kehidupan. Namun atas kekhilafan diri, dunia indah itu aku pernah tinggalkan.

Saban tahun aku rindui. Sumpah. Jauhhhhhh dalam hati aku senyap-senyap lafaz rindu sembunyi-sembunyi. Tetapi syaitan dan nafsu kuat nak melawan. Hishhh!! Dah penuh buku amalan dengan segala dosa-dosa yang terlalu mudah untuk dielakkan. Baru sekarang mahu sedar? Sesungguhnya Allah itu tidak pernah lokek dengan kemaafan dan keampunan. Kita sahaja yang malas meminta.

Kini, aku mahu istiqamah. Terlalu jauh hendak ke arah alim ulama. Apatah lagi taraf penghuni tetap di syurga. Tetapi aku mahu tanam ego ke arah cita-cita itu.. Senang sebenarnya - jaga iman, jaga amal, jaga segala. Bersederhana. Jangan berhenti belajar.

Malam itu, jiwa takut mati jadi punca. Tangan bergetar, menitik air mata. Memandang ke putih dinding bilik. Tiba-tiba rasa sebak - tersangat sebak. Teringat akan dosa-dosa lalu. Masya-Allah. Rupanya hari-hari aku sakan mengutip dosa mudah. Ringan pada mula. Dah bertahun-tahun? Mahunya tak terkira!

Alhamdulillah, tatkala itu Allah datangkan sinar sebenar. Apa yang aku mahu jadi, Allah datangkan kekuatan dan tekad. Dengan izin Dia, segala niat jadi perbuatan. Alhamdulillah.

Sekarang aku pohon doa semua rakan, doakan aku terus tekad - melawan nafsu, melawan syaitan. Doakan aku terus ke depan, lurus ke depan.

Kerana di depan, ada syurga. Syurga yang sebenarnya mudah untuk kita semua jejaki tetapi disusahkan dek kejahilan diri sendiri.


| Buka buku baru |