Ini kisah aku
Tulis serabut dengan pen biru
Cuma kertas ini punya telinga untuk aku yang bisu kata
Lantang di tepi jalan semua mahu menjerit
Satu satu urat tengkuk terbonjol perit
Mahu didengar mahu dijulang
Mahu disiar mahu dipampang
Aku bisu
Dah lali telingaku sakit berdengung
Dek pekik haloba manusia yang bingung
Bingung tak sudah alahai takut tercicir dari senarai nama teragung
Apa kalau kau tercicir, kau mati tersadung?
Apa kalau kau tercicir, kubur kau pasti pekung?
Ingin benar si bisu ini bicara
Berkata 'duhai kalian, kita semua sama!'
'Kau jerit, kau pekik, kau kejar, apa hujungnya? Kubur juga!'
Namun semua si bisu cuma mampu simpan
Erat-erat dikunci dalam hati
Kerana aku bisu bicara
Tak siapa endah walau seinci
Bisik saja dalam jiwa, kumandang saja dalam rasa
Bekal untuk langkah di dunia
Biar aku bisu bicara
Asalkan aku tak bisu jiwa!
Pen biru malam ini jadi saksi
Si bisu tulis semua cerita yang tak pernah basi
Cerita perihal manusia yang bodoh mengejar nafsu serakah
Semua bagai longkang, penuh sampah!!
Aku si bisu
Begitu aku bisu bicara
Tapi aku tak bisu jiwa...
| ingin jadi bisu |