Hujung minggu sudah tamat. Puas hati. Berehat dalam privasi. Terima kasih untuk yang sudi mengerti.
Banyak benda yang gembira terjadi. Cuba memahami diri serta 'insan yang separuh dari diri ini' dengan lebih baik. Ada peluang untuk bercakap benar dari hati. Mungkin intonasi apabila didengari orang lain kami umpamanya sekadar bergurau. Tapi kami masing-masing mengerti, borak-borak kami itu lahir dari hati.
Gembira. Dapat merasa sedikit pertambahan kematangan dalam diri masing-masing. Semoga lebih bertambah segala - gembira, matang, tolak ansur, memahami, sensitiviti, jujur, sayang, cinta.
++++++++++++++++++++++++++++++
Kawan. Terima kasih setinggi langit kerana masih prihatin walaupun rasanya cuma tinggal secebis. Aku sudah baca apa yang ditulis. Entah. Hati masih rasa tidak enak. Masih rasa 'belum boleh menerima'. Tapi aku janji akan aku pujuk hati. Mungkin sudah tiba masa untuk aku lepaskan apa yang pernah aku ketahui. Kerana kau pun sudah boleh belajar melupai. Kenapa tidak aku? Baik. Kau teruskan. Aku doakan kau, kawan.
++++++++++++++++++++++++++++++
Ada seorang insan tinggalkan komen dekat last entry aku. Wirajiwa namanya. Thank you so much atas kesudian :) Mungkin dia dulu-dulu selalu follow entry aku. Ataupun komen itu sekadar komen biasa yang tiba-tiba sahaja darinya. Katanya penulisan aku kini makin dewasa, tapi ada nada keras dalam kematangan itu.
Benar. Untuk makluman, hati aku ini keras. Keras kerana banyak yang telah aku pelajari. Jatuh bangun, dikutuk dikeji, dipuja dipuji. Benar. 25 tahun pengalaman ini belum mampu mendahului kamu-kamu yang sudah jauh mengorak dan mencorak masa depan. Sudah mampu tersenyum untuk mencari dan pegang duit sendiri sedangkan aku masih belum punya apa-apa lagi.
Tapi 25 tahun aku ini padat dengan pelbagai corak lukisan. Umpama kanvas putih yang sudah sesak dengan seluruh warna yang ada wujud dalam sekian alam. Kerana sesak warna atas kanvas hidup itulah aku menjadi yang lebih memahami. Memahami bahawa hidup ini terlalu singkat untuk aku kesali. Terlalu singkat untuk tidak aku harungi.
Aku biar yang dulu terus pergi. Aku menunggu yang di depan untuk hadir. Aku hargai yang sekarang sepenuh hati.
| Ketut Ketut Ketut |