Tidak mungkin aku bagi pada kamu rasa ini semena-mena, jika bukan seluruh badan aku rasa menggeletar di setiap masa kau ada depan mata. Kamu mungkin cuma lihat sayup keras aku pada wajah dan intonasi. Dalam hati?
Sakit cemburu. Hati rasa tak menentu. Duduk salah, berdiri salah. Jaga susah, tidur pun payah. Terkebil-kebil, melayan berjuta persoalan yang pasti aku berikan berjuta-juta kemungkinan. Mencongak soalan dan jawapan sendiri. Mahu bertanya, takut jadi salah anggapan. Kata nanti aku mahu jadi raja. Bukan. Aku berumpah atas nama Illahi. Datang teka-teki, jantung hampir meledak seperti gunung berapi. Mahu cepat-cepat minta jalan cerita yang benar. Sudah dapat garap segala, masya-Allah, hati ringan rasa sedang terbang tinggi~
Aku ini lemah. Rupa saja gagah. Aku cuma mahu kata tenang pada hati. Bahawa kasih yang aku jaga bukan untuk sia-sia. Bahawa kasih yang aku jaga bukan main-main di titip usia. Ada kata aku obsesi. Iya. Memang. Jadinya mengapa? Mahu aku buang jauh-jauh rasa ini? Boleh. Boleh saja aku buang. Tapi aku buang sekali dengan rasa sayang.
Aku ini dari dulu bukan jenis manusia yang cuma tahu duduk sepi menunggu jatuh tuah atau badi. Tidak! Itu bukan aku. Jadinya cemburu datang pergi. Sejak azali, aku ada banyak rasa rendah diri, buat aku mudah rasa kalah. Kalah pada insan lain yang lebih banyak istimewa - pada mata, pada rupa, pada apa sahaja yang orang selalu cari.
Aku tahu bagaimana rapuh jiwa aku. Aku tahu bagaimana ikhlas emosi aku. Aku tahu bagaimana dalam sebuah cinta aku. Bukan untuk nafsu. Bukan untuk harta. Bukan untuk dunia. Tapi mencari dia untuk bimbing dan bawa aku bersama pergi syurga. Miskin sungguh aku ini, tidak mampu tawar apa-apa. Cuma ada kasih sedalam bumi, ada sayang setinggi langit, ada hajat sebesar alam.
Mahu kamu kerana Allah. Noktah.
| jujur pada diri |