24 February 2011

::: Ketika Usia Begini

Jangan tanya aku kerjanya apa.. Jangan!

++++++++++++++++++++++++++++++

Hidup ini macam satu cerita drama palsu. Dulu-dulu di penghujung usia belasan aku, aku sudah tuliskan. Ketika usia ini, aku plotkan aku sudah punya kerjaya, punya banyak pencapaian, punya hubungan untuk membina keluarga.

Entah, semuanya cuma tinggal cerita kah?

Sakit teramat sakit tatkala setiap kali berbicara, ada yang menghumban salah pada aku semata. Iya, aku masih seorang pelajar. Jadinya kenapa? Seperti tiada penghujung. Benar. Aku tidak secerdik mereka. Tidak secerdik kamu-kamu juga.

Pernah aku buka mulut pada seorang teman yang aku kenal hampir 10 tahun dahulu tapi tak pernah bersua muka. Aku kata aku mahu jadi manusia lain, yang senang sungguh mencapai cita-cita, yang sudah bebas dari belenggu gelaran pelajar, yang tidak lagi mengharap sogokan duit daripada ibubapa. Aku mahu jadi manusia lain, yang boleh berjalan bebas kemana-mana, hidup dalam gelak tawa, biar kerja kecil seadanya tapi punya banyak masa.

Dan dia kata lebih kurang maksudnya begini. Jangan banding diri dengan sesiapa. Benar jika hidup mereka mudah, pasti ada yang kurang di mana-mana segi yang orang tu sendiri pun tak pernah cerita. Benar hidup kau susah, tapi hujungnya pasti lebih bererti.

Aku masih ingat lagi. Sekarang aku lihat dia semakin berjaya. Alhamdulillah. Semoga dia, kerjaya juga sesiapa sahaja yang dia cinta, dipermudahkan dalam segala-galanya.

Dan aku? Masih juga seorang pelajar. Pedih. Tanggung kata-kata yang orang lempar. Usia begini masih tak habis lagi? Usia begini masih tak punya kerjaya?

Kau ucap sekali, aku anggap itu gurauan. Kau ucap kedua kali, aku masih boleh bagi senyuman. Kau ucap berkali-kali, biar aku diam menangis sejenak sendirian. Kau katalah apa sahaja. Kerana aku masih berpegang pada kata-kata si teman. Benar hidup aku susah, tapi hujungnya pasti lebih bererti.

++++++++++++++++++++++++++++++

Entah, semuanya cuma tinggal cerita kah? TIDAK! Cerita yang pernah aku tuliskan dahulu, masih menjadi sebuah cita-cita. Akan aku gapai tak kira pada usia bila. Yang pasti hidup kita lain rentaknya.


| tulis irama tanpa nada |